Thursday, December 24, 2009

Kanak-kanak mangsa dera, rogol dan bunuh - Adakah kita sekadar mendengar?

1. Hasil bedah siasat terhadap mayat budak perempuan berusia 12 tahun yang di temui dalam kolam tadahan banjir di Kuala Lumpur menunjukkan tanda mangsa diserang secara seksual. Kematian mangsa berpunca dari jerutan di lehernya menggunakan tuala kecil. Setelah itu mayat mangsa di percayai di campak ke kolam tadahan banjir setelah di bunuh di tempat lain.

2. Kes -kes sebegini bukan isu terpencil lagi di dalam masyarakat kita hari ini, Lelaki dituduh dera anak, bersikap tidak siuman di mahkamah. Pemandu teksi disyaki dera anak direman 5 hari. Bapa disyaki dera anak hingga mati, ditahan. Dera anak, penarik kereta dipenjara dua tahun. Ibu dera anak dipenjara lapan tahun tiga bulan. Ayah disyaki dera anak – dahi, mulut luka dan ada kesan cucuh api rokok.

3. Perenggan di atas merupakan himpunan tajuk-tajuk berita tentang krisis hubungan antara anak dan ibu bapa yang menghiasi ruang dada akhbar di Malaysia sepanjang tahun . Berita sebegini merupakan sebahagian daripada laporan yang diterima oleh polis mahupun Jabatan Kebajikan Masyarakat tentang penganiayaan yang dilakukan ke atas kanak-kanak oleh ibu bapa mereka sendiri.

4. Mengapakah hubungan darah dan kekeluargaan yang begitu murni ini mengalami krisis yang kritikal sehingga wujudnya permusuhan yang mengakibatkan kecederaan dan akhirnya kematian?

5. Berita sebegini tentunya menjadi mimpi ngeri kepada sesiapa saja yang membacanya. Soalnya, adakah kita masih boleh berpeluk tubuh dan menganggap musibah sebegini hanya akan terjadi kepad orang lain dan tak mungkin menimpa ahli keluarga atau rakan-rakan kita?

6. Dato' Shahrizat berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 1,999 kes penderaan dilaporkan pada 2006 berbanding 1,242 kes pada 2002 yang merangkumi penderaan fizikal, seksual, emosi, sumbang mahram dan buang bayi."Kes penganiayaan kanak-kanak turut meningkat daripada 123 kes pada 2002 kepada 141 kes tahun lalu manakala kanak-kanak hilang mencatatkan angka membimbangkan, iaitu 6,533 dilaporkan sejak Januari 2004 sehingga Ogos 2008 .

7. Penderaan dan keganasan terhadap kanak-kanak tidak seharusnya berlaku dan mesti dibanteras dalam masyarakat dengan kerjasama semua pihak. Mereka yang melakukan penderaan terhadap kanak-kanak seharusnya dikenakan hukuman setimpal dengan jenayah kejam yang telah dilakukan ini apatah lagi kes ini yang telah menyebabkan kematian.

8. Tumpuan terhadap aspek perlindungan, advokasi, pencegahan dan khidmat sokongan bagi kanak-kanak serta penyelidikan mengenai isu-isu kanak-kanak dengan memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi di dalam masyarakat.

9. Yang paling utama adalah kepekaan dan komitmen semua pihak termasuk setiap anggota masyarakat dalam perlu bagi melindungi kanak-kanak.

10. Sehubungan itu, aduan mengenai kes penderaan kanak-kanak adalah sangat penting dilaporkan segera dalam usaha untuk mengawal kejadian seperti ini daripada berlaku.

11. Seksyen 27, 28 dan 29 Akta Kanak- Kanak 2001 menyebut bahawa pegawai perubatan atau pengamal perubatan, anggota keluarga dan pengasuh kanak-kanak adalah wajib memberitahu Pegawai Pelindung di Jabatan Kebajikan Masyarakat jika mereka mengetahui bahawa seseorang kanak-kanak itu telah dicederakan dari segi fizikal atau emosi akibat

  • teraniaya
  • terabai
  • terbuang atau terdedah
  • teraniaya dari segi seks.

12. Kegagalan untuk mematuhi peruntukan itu boleh disabitkan dengan kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment